Skip to main content

LUASNYA AMPUNAN DAN RAHMAT TUHAN

“BERDOALAH KAMU KEPADAKU, NESCAYA AKAN KU PERKENANKAN BAGIMU” – (Terjemahan Surah Al-Mu’minun Ayat 60)

Terjemahan Surah Al-Mu’minun Ayat 60 di atas telah merubah seluruh kehidupanku dan telah kembali mendekatkan diriku kepada Dia Yang Maha Esa. Kini sudah hampir dua tahun terjemahan daripada Surah itu telah membawa aku untuk berhijrah kedunia baru yang lebih baik, lebih indah, lebih damai dan sungguh menenangkan. Alhamdulillah, kini aku telah kenal erti kedamaian dan aku juga telah temui erti kebahagiaan yang hakiki.

Pada usia yang hampir menjangkau 35 tahun, aku akui memang aku adalah seorang yang lalai dalam mengerjakan suruhanNya yang satu ini, iaitu SOLAT. Aku tidak pernah meninggalkan atau mengabaikan suruhannya yang lain seperti puasa, bersedekah dan berbuat-baik sesama manusia dan makhluk, tetapi aku sering menganggap bahawa Solat itu adalah sesuatu yang sangat berat untukku laksanakan, sibuk ataupun tak sempat adalah di antara alasan yang sering aku berikan pada diriku sendiri. Aku selalu punya waktu untuk perkara-perkara lain di dalam hidup tetapi sayangnya aku tidak pernah memperuntukkan masa untuk bersolat. Betapa angkuhnya aku sebagai hambaNya yang tidak pernah bersyukur dan berterima-kasih kepada sang pencipta Yang Maha Esa lagi Maha Pengasih dan juga Maha Penyayang.

Allahuakbar, ternyata Rahmat dan Kasih-sayang Allah s.w.t tiada siapa yang dapat pertikaikan, dalam kealpaan diriku mengejar duniawi Dia masih sudi untuk memberikan aku peluang untuk kembali ke jalan yang diredhaiNya.


Masih segar dalam ingatanku, sekitar dua tahun yang lalu sebelum aku ditakdirkan untuk berhijrah kepada diriku sekarang, Allah telah memberikan aku hidayah tanpa aku sendiri menyedarinya, setiap hari tatkala pulang dari berkerja dan sewaktu menunggu waktu untuk makan malam hatiku digerakkan untuk menonton siaran Astro Oasis. Semakin hari hatiku menjadi semakin senang mendengar alunan zikir-zikir dan doa-doa yang dialunkan dari siaran tersebut, terasa indah sekali mendengarnya sehinggakan tanpa aku sedari mulutku juga terkumat-kamit turut membaca zikir-zikir dan doa-doa yang sedang dialunkan. Aku juga tidak pernah lupa untuk turut sama membaca Yassin pada malam Jumaat yang di siaran di Astro Oasis tersebut dan hatiku cukup sayu dengan alunan bacaan Yassin oleh Ustaz Dzulkarnain dan yang paling aku gemari adalah segmen Doa Yassin yang disiarkan setiap minggu selepas bacaan Yassin. Doanya begitu panjang dan amat menyentuh hati. Tanpa aku sedari secara perlahan-lahan hatiku mula terbuka untuk kembali mengingati Allah malah hatiku juga mula terbuka untuk membaca buku-buku ilmiah yang berkonsepkan keagamaan. Suatu hari tatkala membaca sebuah buku ‘best-seller’ tulisan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni yang telah diterjemahkan ke bahasa Malaysia bertajuk – “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia” tiba-tiba mataku terpukau pada sebaris ayat, ianya adalah sebaris terjemahan ayat Al-Quran yang membawa maksud begini : “Berdoalah Kamu Kepadaku, Nescaya Akan Ku Perkenankan Bagimu” – Surah Al-Mu’minun Ayat 60. Tatkala melihat akan terjemahan tersebut aku bertanya di dalam hati, “Bilakah kali terakhir aku berdoa kepada Allahh s.w.t.?” Jawapannya tidak aku temui kerana aku telah lama tidak pernah berdoa dan bersolat. Tatkala itu aku merasa sungguh sedih dan kesal kerana telah begitu lama aku melupakan Allah.

Mungkin orang akan berpendapat bahawa ianya hanyalah sebaris terjemahan ayat yang tidak membawa erti apa-apa tetapi bagi diriku ianya sungguh bermakna dan aku anggap Ayat daripada Surah Al-Mukminun itu adalah ayat yang mengambarkan Kasih-sayang dari Allah keatas hamba-hambanya dan betapa Allah itu maha pengurnia. Sebaris ayat ini telah betul-betul merubah diriku menjadikan aku yang sekarang ini.

Tatkala aku sedang berusaha untuk berhijrah demi kebaikan diri, tiba-tiba aku diuji oleh yang Maha Esa apabila secara tiba-tiba suami yang amat aku kasihi telah disahkan mengalami penyakit saraf yang agak serius dan telah dimasukkan ke wad hampir seminggu lamanya dan diberikan cuti sakit selama dua bulan bagi menjalani sessi fisioterapi. Hatiku sedih dan kesal, mungkin kerana tidak dapat menerima kenyataan tentang penyakit suamiku itu atau mungkin kerana aku terlalu bimbang jika sesuatu yang tidak diingini terjadi kepadanya. Aku dapat merasakan yang diriku menjadi begitu murung, resah dan keliru semenjak mengetahui akan penyakit yang di tanggung oleh suamiku. Bukan aku sahaja malah suamiku juga menjadi agak pendiam dan agak pemarah jika ada sesuatu yang tidak kena. Kedua-dua sifat ini bukanlah sikapnya yang sebenar kerana bagi aku dialah seorang suami yang paling peramah dan penyayang, malah kami hidup aman bahagia sepanjang hidup bersama. Alhamdulillah, ternyata Rahmat Allah sentiasa bersamaku, suatu malam tiba-tiba aku terjaga dari tidur di waktu pertengahan malam dan di dalam keadaan antara sedar dan tidak, aku teringat akan terjemahan Surah Al-Mu’minun tersebut….lalu aku bingkas bangun dari katil dan terus saja menyucikan diri dan berwuduk, selesai berwuduk aku terus saja mencapai kain telekung dan sejadah yang memang telah lama tidak pernah aku sentuh malah ianya hanya tinggal berlipat di satu sudut didalam almari bajuku. Aku cium kain telekung tersebut dan tatkala itu terasa air-mata mengalir laju dari kelopak mataku. Dalam linangan air-mata aku menunaikan solat taubat, solat hajat dan solat tahajjud, sewaktu itu baru terasa betapa kerdilnya diriku sebagai hambaNya yang begitu angkuh dan sombong yang telah sekian lama melupakan tuhannya. Sambil air-mata bercucuran dari kelopak mata aku berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t dengan setulus hatiku. Masih aku ingat bibirku tak putus-putus menyebut, “Ya Allah, ampunilah diriku yang telah begitu lama melupakanmu dan telah begitu lama lalai dalam mengingatimu. Ya Allah…. Janganlah lagi Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau kurniakan aku petunjuk, Ampunilah aku Ya Allah…Ampunilah aku Ya Allah”. Mungkin itulah hidayah Allah untukku yang mahu aku kembali mengingatiNya setelah sekian lama aku melupakanNya. Aku amat bersyukur kerana ternyata Allah masih memberikan aku peluang untuk mendekatkan diriku padaNya.

Selesai sahaja aku melaksanakan solat di keheningan malam tersebut, Alhamdulillah, hatiku terasa begitu lapang, tenang dan sungguh damai…seolah-olah tiada lagi apa-apa kesulitan dan tiada lagi apa-apa kerisauan di benak hati. Keesokkan paginya tanpa perlu dikejutkan oleh deringan jam loceng aku dengan sendirinya terjaga dari tidur yang begitu nyenyak, aku bangun dengan semangat yang baru. Setelah selesai membersihkan diri tanpa di belenggu oleh perasaan malas ataupun mengantuk aku terus saja menunaikan solat Suboh. Selesai saja menunaikan solat suboh tatkala aku sedang beristigfar memohon keampunan atas semua dosa-dosa, kesalahan dan kelalainku terhadapNya, tiba-tiba aku teringat kembali kepada terjemahan Surah Al-Mu’minun di atas lalu akupun berdoa dan memohon kepada Allah untuk kesembuhan penyakit suamiku dan semoga aku dikurniakan rezeki, kesihatan dan kebahagian dalam menjalani kehidupanku. Alhamdulillah, ternyata Allah memang tidak pernah memungkiri janjinya kepada hamba-hambanya tetapi kita selaku hambanya yang seringkali mengabaikan janji dan tanggung-jawab kita kepadaNya. Aku tanamkan dan aku pahatkan kepercayaan yang tidak berbelah bagi pada janji Allah sebagaimana terjemahan surah di atas dan terjemahan tersebut aku jadikan motivasi diri untuk mendekatkan diriku padaNya dan aku juga tanamkan di hati bahawa solat itu memang susah tetapi seandainya aku mampu lakukannya maka akulah orang yang berjaya menangkis godaan dan kongkongan syaitan terhadapku.

Alhamdulillah setakat ini aku telah berjaya dan aku tidak lagi pernah mengabaikan solat lima waktu yang telah diwajibkan selain daripada solat-solat sunat yang cuba aku perbanyakkan setiap kali berkesempatan. Terjemahan surah tersebut aku jadikan kekuatan untuk mendekatkan diriku padaNya dan aku tidak pernah jemu-jemu memanjatkan doa padaNya diwaktu solat dan juga di luar waktu solat, malah di dalam hati aku sentiasa berdoa dan berkata-kata denganNya. Semua kesedihan, keresahan, kesulitan dan kekeliruan aku nyatakan padaNya kerana aku tahu hanya Dia yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Dengan keizinanNya juga suamiku telah sembuh sepenuhnya hasil rawatan secara moden dan alternatif yang telah kami ikhtiarkan atas keyakinan bahawa setiap penyakit itu pasti ada penawarnya dan rezekiku juga datang daripada pelbagai sumber yang tidak pernah aku duga sama-sekali, kehidupan keluarga juga semakin bahagia dan kesihatan juga bertambah baik. Selain itu, aku juga amat bersyukur kehadratNYa kerana anak-anakku yang sememangnya sejak dilahirkan telah dianugerahi dengan kepintaran bertambah cemerlang di dalam pelajaran dan juga semua bidang yang mereka ceburi.

Semenjak penghijrahan itu aku tidak lagi pernah lalai dalam mengingati Allah dan aku juga tidak pernah lupa untuk berdoa dan terus berdoa kehadratnya agar aku sentiasa berada di bawah limpahan kasih-sayang dan rahmatnya. Walaupun bukan semua doa-doa yang dipanjatkan itu diperkenankan Allah dengan segera namun aku yakin pada janji-janji Allah seperti yang tercatat di dalam surah tersebut dan hanya dia yang maha mengetahui mengapa ada di antara doa-doa kita belum lagi di kabulkan kerana hanya dia yang mengetahui setiap apa yang terbaik untuk kita pada sesuatu waktu itu, dan kita hanya perlu menunggu kerana Allah pasti tidak pernah melupakan kita. Insyaallah. Sebagai hambaNya kita hanya perlu menunggu waktu dan saat doa kita itu diperkenankan olehNya dan janganlah kita berputus-asa apabila doa kita tidak segera dikabulkan dan janganlah pula kita memaksa Allah untuk segera memperkenankan setiap doa kita itu. Yakinlah pada janji Allah kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji.

Apa yang paling mengembirakan aku ialah bukan aku saja yang berhijrah malah setelah penghijrahanku anak-anak dan suamiku juga telah mula berubah dan mereka juga telah mula mendekatkan diri mereka padaNya dan pada peringkat awalnya aku selalu memberitahu anak-anakku, “Mama faham memang solat itu berat untukmu Nak tapi seandainya dapat dilakukan dengan ikhlas, maka kitalah hambaNya yang berjaya dan cubalah dan berusahalah untuk melakukannya kerana Allah itu sangat menyayangi hamba-hambaNya dan Dia tidak pernah melupakan kita Nak”. Aku terangkan kepada
anak-anakku semua nikmat, rahmat, kemewahan, kesihatan yang baik dan kebahagian dalam sebuah keluarga kesemuanya datangnya daripada Allah s.w.t dan semua itu telahpun kami sekeluarga miliki malah jika dihitung telah telalu banyak yang telah dikurniakanNya kepada kami sekeluarga, hanya dengan bersolat, berdoa dan melakukan segala suruhanNya adalah cara bagaimana kita mengucapka terima kasih dan bersyukur kepadaNya. Akhirnya anak-anakku mula memahami apa yang sedang cuba aku terangkan kepada mereka dan aku juga memohon maaf kepada mereka kerana aku selama ini telah turut mengheret mereka di dalam kelalaian dan kealpaanku dalam mengingati Allah, di dalam hati aku hanya mampu berkata, “Maafkan Mama Nak”.

“Ya Allah, aku selalu merasa rindu untuk berbual-bual denganMu kerana hanya engkau yang lebih mengerti segala apa yang tersirat dan tersurat di dalam hatiku dan yang pasti aku kini amat bahagia dengan kasih-sayangMu Ya Allah dan tak mungkin aku akan melupakanMu Ya Allah.”

Comments

Popular posts from this blog

IMPIAN @ MATLAMAT AKU 10 TAHUN AKAN DATANG

Setiap dari kita pasti mempunyai impian dan matlamat di dalam hidup.  Selalunya segala impian dan matlamat itu kita simpan di dalam hati dan tidak kita war-warkan atau kita zahirkan kepada umum kerana kita menganggapnya sebagai 'harta' peribadi. Aku juga menyimpan beberapa Impian dan Matlamat untuk diriku dan juga  untuk ahli keluargaku yang sangat aku sayangi.  Sebagai seorang wanita Islam, Aku ingin sentiasa menjadi seorang  hamba Allah yang sentiasa taat pada perintahNya dan aku juga berharap agar aku sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t ke jalan yang benar dan diredhaiNya.  Aku ingin menjadi hamba yang mendapat keredhaan  Allah pada setiap masa.  Aku juga ingin menjadi hamba yang mengamalkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan aku seharian. Aku cinta Allah dan Aku sayang Rasulullah.  Amin Of course, sebagai isteri, tentulah aku ingin sentiasa menjadi isteri yang solehah, taat  dan setia pada  suami, kerana dialah jodoh dari Allah untukku.  Aku juga ingin men

ZIKIR ASMAULHUSNA UTK MENGATASI MASALAH *** MENGATASI MASALAH HUTANG

ZIKIR : YA ALLAH YA FATAH YA BASITH YA WASI' YA RAZAQ YA GHONIY YA MUGHNI YA AWWAL BICARA HATI :- YA ALLAH, YA FATAH,  BUKAKAN JALAN KELUAR DARIPADA MASALAH KEWANGANKU. SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YA QOBIDH YANG MENYEMPITKANKU KERANA  KASIHMU KEPADAKU. YA ALLAH, YA BASITH, YA WASI' LAPANGKANLAH DAN LUASKAN HIDUPKU. YA ALLAH, YA RAZAQ, YA GHONIY, YA MUGHNI KURNIAKANKU SEDIKIT REZEKI DAN KEKAYAANMU AGAR DAPAT KU MEMPERBAIKI MASALAH KEWANGAN YANG KRITIKAL INI, SESUNGGUHNYA ENGKAU MAHA MEMBERI KEKAYAAN. YA ALLAH, YA AWWAL MOHON DIPERCEPATKAN SESUNGGUHNYA DAKU SUDAH TIDAK MAMPU MENANGGUNG UJIAN INI, SESUNGGUHNYA ENGKAU YANG MAHA MEMPERCEPATKAN LAGI MAHA MENUNAIKAN HAJAT, YA MUJIB Panduan : Zikir AsmaulHusna disarankan untuk dibaca sebanyak 40X selepas setiap kali Solat.  Sekiranya tidak sempat, bolehlah di baca ketika waktu lapang.  Bagi masalah yang kronik, eloklah dibaca selepas solat hajat/solat dhula/solat tahajud dengan di baca d

Zikir AsmaulHusna - Ketika Anak Sedang Menghadapi Peperiksaan

Zikir : Ya Zohir Ya Haadi Ya Nuur Ya Baari Bicara Hati Ya Allah, Ya Zohir, nampakkan kepada anak-anakku jawapan bagi soalan-soalan peperiksaannya. Ya Allah, Ya Haadi, berikanlah petunjuk jawapan bagi soalannya. Ya Allah, Ya Nuur, pancarkan cahayaMu di dalam fikirannya agar dia mendapat jawapan bagi segala persoalan. Ya Allah, Ya Baari, yang maha mengatur, aturkan jari-jemarinya untuk menulis ilmuMu dalam peperiksaan ini. Amin. Ya Raab Panduan : Zikir AsmaulHusna disarankan untuk dibaca sebanyak 40X selepas setiap kali Solat.  Sekiranya tidak sempat, bolehlah di baca ketika waktu lapang.  Bagi masalah yang kronik, eloklah dibaca selepas solat hajat/solat dhula/solat tahajud dengan di baca dalam sujud akhir sebanyak 40X dan berdoa di dalam hati mengikut tujuan dan masalah yang sedang dihadapi.  Untuk menjaga adab dengan Allah swt, sebaiknya di mulai dengan Allahumma Allahu Rabbi